BINTULU – Sepuluh premis judi ‘online’ tanpa dilesen, masing – masing empat di Pusat Komersial ParkCity dan CF Park serta sebuah di Pusat Komersial Bandar Jaya dan Pusat Komersial Berjaya dekat sini diberi notis arahan untuk menghentikan operasi mereka daripada Unit Pelesenan Kesihatan Awam Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
Notis arahan tersebut disampaikan Pembantu Kesihatan Alam Sekitar BDA, Goh Nae Guang kepada semua pemilik, pengusaha, penyewa maupun penjaga premis berkenaan hari ini.
Notis di bawah Seksyen 153 Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 dan Seksyen 5(1)(b) Ordinan Hiburan 2000 itu memberikan tempoh 14 hari kepada semua pemilik agar menghentikan operasi atau aktviti perjudian ‘online’ tanpa lesen di premis masing- masing sebelum tindakan lebih tegas diambil.
Menurut Goh, kesemua premis terbabit merupakan antara premis yang paling tampak menjalakan aktiviti (perjudian online tanpa lesen) walaupun Pihak Berkuasa Tempatan yakni BDA telah mengenalpasti terdapat 46 premis terlibat dalam aktiviti seumpama itu.
Sekiranya, pihak terlibat masih engkar dengan arahan tersebut walaupun telah diberikan peringatan dan tempoh untuk berbuat demikian, pihaknya tidak akan teragak- agak mengambil tindakan tegas termasuk mendapatkan bantuan dan kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan seperti polis, SesCo.
Pendekatan (notis), katanya lagi, sebahagian daripa mekanisme yang diambil BDA sebagai PBT ke araj usaha mengekang serta membanteras aktiviti perjudian ‘online’ tanpa lesen yang semakin berleluasa di bandar ini.