KOTA SAMARAHAN- Dakwaan pihak pembangkang bahawa mereka boleh menurunkan harga barangan di pasaran jika menang pada pilihan raya ini adalah tidak berasas sama sekali.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Hajah Fatimah berkata, kerajaan telah sedaya upaya mengawal kenaikan harga barang dan memberi subsidi bagi meringankan beban rakyat.
“Kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk mengawal kenaikan harga barang ini, perkara ini tidak perlu dipersoalkan pihak pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Kebajikan dan 1Azam anjuran Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak dan Pejabat Residen Bahagian Samarahan di Dewan Sri Nor, Kampung Maranek
Katanya, kementerian itu akan melaksanakan ‘ program pemutihan’ bagi memastikan hanya mereka yang benar layak mendapat bantuan kebajikan, program itu telah pun mula dilaksanakan tahun ini di seluruh negeri ini.
Menurutnya, untuk tujuan itu pihaknya memerlukan kerjasama dari ketua-ketua masyarakat untuk mengenal pasti mereka yang layak mendapat bantuan.
“Kita tidak mahu ada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) terlepas pandang menerima bantuan kebajikan.Oleh itu, kita memerlukan kerjasama daripada ketua masyarakat untuk membantu kita,” katanya.
Katanya, kerajaan komited melaksanakan program bantuan Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) dan program 1AZAM bersama 16 agensi pelaksana yang telah dilantik.
“Ini merupakan komitmen berterusan kerajaan pusat bagi membantu meningkatkan isi pendapatan rumah bagi Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan rendah.
“Kita yakin melalui perlaksanaan Karisma dan 1AZAM golongan sasar akan terus dibantu untuk meningkatkan pendapatan mereka dan keluar dari belenggu kemiskinan,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Dalat itu memberitahu di Bahagian Samarahan seramai 1,638 mereka yang layak menerima bantuan kebajikan dan 1AZAM.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, calon BN bagi kerusi Parlimen P197 Kota Samarahan Rubiah Haji Wang, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi dan Pengarah JKMNS Noriah Ahmad.