BINTULU: Bimbang perkhidmatan mereka tidak disambung menyebabkan 300 pekerja tempatan yang bekerja dengan sepuluh syarikat sub kontraktor yang bertanggungjawab dalam kerja- kerja pembinaan Fasa 1 projek pembangunan di Samalaju, kira- kira 75km dari bandar Bintulu bertindak melancar mogok aman, pagi tadi.
Mogok aman yang diadakan seawal jam 6.30 pagi sebelum berakhir awal tengahari tadi, bagaimanapun, tidak menimbulkan sebarang kekecohan maupun insiden yang tidak diingini memandangkan tujuan mogok tersebut diadakan adalah sekadar melahirkan kebimbangan pekerja terlibat terhadap tindakan syarikat terlibat mengupah lebih ramai pekerja asing yang dikhuatiri akan menjejaskan peluang pekerjaan di kalangan mereka..
Syarikat terlibat juga dikatakan mula membawa masuk golongan pekerja asing sejak seminggu dua yang lalu yang mana menimbulkan kebimbangan serta kerisauan di kalangan pekerja tempatan apatah lagi apabila memikirkan kontrak pekerjaan serta kerja- kerja pembinaan(Fasa 1) projek pembangunan di Samalaju akan tamat dan siap tidak lama.
Selain itu, pihak majikan juga disifatkan pilih kasih di dalam pengagihan tugas dan kerja kepada kedua- dua pihak(pekerja tempatan dan asing) dimana pihak majikan didakwa memberikan kerja yang lebih mudah dan senang kepada pekerja asing sedangkan pekerja tempatan diberikan kerja yang berat dan kasar.
Sehubungan itu, pihak terlibat(pekerja tempatan) merayu perhatian serta pertimbangan pihak berkenaan terutama majikan serta syarikat terlibat agar prihatin sekaligus mengambil berat akan kebajikan mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Mohd Said Ibrahim semasa mengesahkan perkara tersebut memberitahu pihaknya menerima maklumat berkenaan mogok itu pada Selasa lalu.
Katanya, seramai 70 anggota yang sepatutnya bertugas pada PRU13 telah dikerahkan ke kawasan bagi mengawal serta memantau keadaan yang disifatkan beliau sebagai terkawal daripada sebarang insiden yang tidak diingini.