Mampukah DAP menawan Johor? Pastinya persoalan ini menggegarkan. Tidak kurang menggetar dan menggusarkan. Setidak-tidaknya bagi Lim Kit Siang yang mengetuai jentera DAP Johor setelah beralih dari Ipoh Timur untuk “membuka silat” di negeri Dato’ Onn itu.
Menjangkakan akan menang mudah jika bertemu calon yang juga Pengerusi MCA Gelang Patah, Jason Teoh dan merampas kubu kuat parti MCA di Parlimen itu, pemimpin parti “paling lama masih bertanding” di Malaysia ini “kelu lidah” kerana BN menurunkan Menteri Besar Johor sendiri, Dato Abdul Ghani Othman yang sebenarnya dalam perancangan “bersara” untuk bersemuka dengan beliau.
Pertandingan dua “orang lama” – daripada dua kaum terbesar di Malaysia ini tidak dapat tidak pasti mengundang pertingkahan kaum. Setidak-tidaknya Kit Siang akan diapikan dengan peristiwa lama “Peristiwa 13 Mei” apatah lagi DAP sememangnya ditubuhkan sebagai serpihan PAP pimpinan Lee Kuan Yew yang meninggalkan Malaysia – bagi menjaga kepentingan kaum Cina dan bersaing dengan MCA – yang dilihat terlalu berlembut dengan UMNO.
Dalam entri dalam blognya pada jam 3.41 petang semalam, Kit Siang membayangkan kegusarannya, yang beliau akan dianggap “rasis dan dalang” kepada Peristiwa 13 Mei 1969. “Jadikan 5 Mei sebagai hari menamatkan fitnah 13 Mei dan pembohongan perkauman UMNO-BN. Golongan yang memfitnah saya telah memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan pengundi, terutamanya orang Melayu, dengan mengapi-apikan sentimen perkauman. Mereka menyangka rakyat Malaysia masih hidup dalam tahun-tahun 1960-an yang mudah terpengaruh dengan emosi kaum.
Dalam entri pada 1 Mei, Kit Siang membayangkan betapa beliau tidak bersalah: “ Ini adalah penting kerana sampai sekarang tiada siapa yang tahu mengapa, apa dan siapa yang menjadi punca peristiwa 13 Mei itu. Lagi pun, kerajaan UMNO-BN selama ini tidak mempedulikan cadangan itu. Malah, pimpinan UMNO-BN membenarkan penyokong mereka menabur fitnah menuduh saya menjadi dalang peristiwa itu.”
“Walaupun tuduhan itu palsu dan bohong serta berniat menghasut dan membangkitkan api perkauman, pimpinan UMNO-BN, termasuk Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Najib Razak, masih tidak serius untuk mengambil tindakan terhadap penyebar fitnah yang membahayakan hubungan antara kaum itu.”
Itu pandangan Kit Siang. Sejarah berkata lain. Sedemikian banyak kajian sarjana dan laporan risikan sememangnya menyebut tindakan DAP dan sedikit elemen komunis menjadi punca. Siapakah yang berarak membawa bendera DAP sambil membangkitkan kata-kata yang menghina Melayu dan Islam? Bahkan foto-foto yang dirakamkan membayangkan siapa Kit Siang sebenarnya. Apakah Kit Siang sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri? Takut tumpas di kerusi yang pada awalnya dijangka mudah.
Kit Siang usah menuding jari kepada orang lain jika ada yang mengatakan DAP rasis. Lihat sajalah keegoan Karpal Singh terhadap hukum hudud, bantahan Teresa Kok terhadap laungan azan dan bacaan Al-Quran, serta isu pemilihan CEC DAP sendiri yang jelas dibauri perkauman.
Parlimen Gelang Patah mempunyai 106,726 pengundi berdaftar, dengan 54.06 peratus pengundinya berketurunan Cina. Pengundi Melayu pula menguasai 33.54 peratus manakala pengundi India melengkapi 12.22 peratus. Sejak lima dekad lalu, ia merupakan kubu kuat Barisan Nasional – dengan MCA bekerja rapat dengan UMNO bagi memastikan pembangunan pesat kawasan selatan Johor tersebut.
Penawanan Gelang Patah bagi Kit Siang adalah laluan untuk menakluki Johor dan seluruh Semenanjung. Pada perhimpunan gergasi Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada 30 April, Kit Siang membayangkan DAP menyasarkan 33 kerusi Parlimen, dengan 12 kerusi di Johor manakala selebihnya di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini agak tinggi sedikit berbanding Karpal yang membayangkan 10 kerusi, sekurang-kurangnya.
Bahkan Kit Siang sebenarnya tidak segan silu menaburkan keyakinan, dengan memaparkan lautan manusia yang membanjiri kempen Pakatan Rakyat di Johor.
Akan tetapi secara realitinya, mampukah Pakatan Rakyat menawan Johor? Apakah sentimen dan isu yang luar biasa sehingga rakyat Johor terlupa akan komitmen kerajaan membangunkan Iskandar Malaysia – sekurang-kurangnya? Apakah hanya kerana perhimpunan – yang kita akui juga dihadiri oleh orang BN, bagi mengikuti keseronokan berkempen.
Kit Siang mungkin lupa bahawa Johor mempunyai 26 kerusi Parlimen dengan 17 daripadanya adalah daripada UMNO. Nama-nama besar yang bertanding atas tiket BN untuk kerusi Pusat termasuklah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Tan Sri Shahrir Ab Samad, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Razali Ibrahim. Di peringkat MCA pula ada tokoh muda seperti Datuk Dr Wee Ka Siong dan Datuk Wee Jack Seng. Di peringkat DUN – terdapat 56 kerusi yang dipertaruhkan. Lebih separuh daripadanya merupakan calon UMNO yang dikepalai Dato Sri Khalid Norden, Menteri Pengajian Tinggi – yang dikhabarkan akan menjadi Menteri Besar yang baru – seterusnya memandu Iskandar Malaysia ke mercu kejayaan.
Pada 2008, Johor kekal kubu kuat BN apabila memenangi 25 daripada 26 kerusi Parlimen yang ditandingi manakala hanya enam kerusi BN tumpas untuk Dewan Undangan Negeri. Bukankah fakta ini menjadi penanda aras yang jelas, betapa Kit Siang hanya bermimpi di siang hari?
Ternyata asakan DAP kepada negeri Johor bertujuan untuk mengalihkan tumpuan terhadap pelbagai isu yang dibangkitkan di kubu kuatnya di Pulau Pinang. Johor boleh dikatakan sebagai tulang belakang masyarakat Melayu di Semenanjung dan menjadi tempat asal semaraknya perjuangan Melayu menentang Malayan Union. Kerana itu, mereka yang yakin, jika dapat menawan Johor – bermakna seluruh tanah Semenanjung akan menjadi milik mereka.
Hakikat yang sebenar, DAP cuba memesong tumpuan kempen dari dua negeri Pakatan Rakyat yang berantakan – Pulau Pinang dan Selangor. Kerana itulah mereka mendendangkan kepada umum bahawa pada siri kempen terkini, mereka dapat menghimpun 70,000 penyokong serta mengutip RM230,000. Kempen terbuka sebegini bukanlah sesuatu indikasi yang boleh diambil kira kerana manipulasi sebegini boleh dilakukan dengan mendatangkan para penyokong dari seluruh kawasan parti pembangkang di utara Semenanjung. Bahkan yang lebih menarik – ia bertujuan untuk mewujudkan spin effect seolah-olah DAP telah berjaya menarik sokongan sedemikian ramai rakyat.
Hakikatnya, politik tetap politik. Dan di mana-mana, “wag the dog” seperti ini tetapi dilaksanakan oleh mana-mana parti politik – terutamanya yang memiliki kedudukan kewangan yang sedikit mantap. Pulau Pinang dengan penganaktirian orang Melayu dan Bumiputera, Selangor dengan isu air, isu kalimah “Allah”, bahkan pelbagai penelanjangan janji yang “tidak ditepati” menyebabkan mereka mencari jalan lain untuk memesong tumpuan.
Jangan lupa, isu Anwar sedang rancak diputar di Permatang Pauh – apatah lagi dengan kegagalan “servis kepada rakyat” di kawasan yang memiliki 71,808 pengundi ini, lantaran sibuk dengan urusan di peringkat pusat dan luar negara. Pertembungan Anwar dan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang yang begitu tahu banyak rahsianya, Dr Mazlan Ismail pasti akan menyedut begitu banyak tumpuan.
Jelaslah permainan yang dilakukan oleh DAP. Mereka mahu sentiasa dilihat sebagai “underdog” dan mampu menggugat. Justeru mereka perlu menyerang negeri-negeri tertentu bagi melencong mahupun menutup pandangan umum terhadap isu yang bertimbun di kubu kuat mereka. Ini strategi dan propaganda politik. Jika tidak, masakan Lim Kit Siang sanggup meninggalkan Ipoh Timur – zon selesanya – untuk memasuki kandang singa Gelang Patah. Silap hari bulan, di sinilah karier politiknya akan dipatahkan.
*Rudi Affendi Khalik merupakan penganalisis bebas, bekas Editor Rencana Utusan Sarawak dan bekas koresponden TV Al Hijrah Sarawak
Hi, this is a comment.
To get started with moderating, editing, and deleting comments, please visit the Comments screen in the dashboard.
Commenter avatars come from Gravatar.