INCLUDE_DATA

 News

Hashera perlukan tempat jagaan sesuai

posted on November 21st, 2009 @ 07 : 04 pm by Moderator

hashera

Jika gadis seusia riang meniti zaman remaja, Hashera, 22, hanya mampu merenung dari jendela yang ditutup rapi dengan pagar dawai.

Selain tidak dapat bertutur, gadis yatim piatu keturunan Berawan ini tidak mampu berdiri atau berjalan, sebaliknya terpaksa mengensot seperti bayi.

Apa yang memilukan, Hashera sering ditinggalkan sendirian, kadang kala berlumuran najis dan air kencing sementara menunggu dibersihkan.

Menurut bapa tirinya yang enggan nama disiarkan, Hashera terpaksa ditinggalkan dirumah sendirian sejak ibunya meninggal dunia pada 2000.

“Setiap kali kerja, saya terpaksa ‘mengurung’ dia dalam rumah kerana bimbang keselamatan. Mujurlah ada saudara mara yang tolong menjenguk keadaan Hashera termasuk memakaikan lampin,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di rumah panjang mereka di Long Terawan baru-baru ini.

Hashera  mempunyai dua adik lelaki iaitu Martin, 12, dan Felixion, 15. Martin masih sedang belajar dalam Tahun 6 di Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Baya Mallang manakala Felixion, Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Panai.

Lazimnya selepas sekolah, Martin akan menolong menjaga termasuk menyediakan makanan untuk Hashera.

Apa yang menyedihkan, selain dikurung dalam rumah yang kotor dan berbau hanyir, Hashera terpaksa tidur menggunakan tilam yang tidak lagi menyerupai tilam kerana terlalu lusuh.

Menurut bapa tirinya, Hashera gemar makan nasi berlauk telur sambil mendengar radio.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Kawasan Parlimen Baram, Elizabeth Deng berkata, setakat ini Hashera sudah mendapat bantuan  Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak RM150 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selain itu kita sudah memohon elaun khas dibawah bantuan penjagaan khas sebanyak RM150 sebulan dariapda JKM. Setakat ini permohonan masih dalam pemprosesan dan dijangka akan diluluskan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau yang merangkap Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Telang Usan berkata, setakat ini elaun yang diterima digunakan untuk membiayai lampin dan makanan Hashera.

Menurut Elizabeth, Hashera merupakan antara OKU yang didaftarkan dibawah Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Eda Beran, Baram sejak dua tahun lalu.

  • Share/Bookmark

© Copyright Sarawak Update 2009. All rights reserved.